Banyak kontroversi dan rahsia mengenai ahli perniagaan yang dikaitkan dengan 1MDB, Jho Low, yang sedang asyik diperkatakan sejak kebelakangan ini.

Jho Low dikatakan telah membeli sebuah transparent grand piano pada tahun 2014 melalui sebuah syarikat di Netherlands untuk dihadiahkan kepada supermodel Miranda Kerr dan piano tersebut berada di rumah Miranda di Malibu.

Piano tersebut pada awalnya diletakkan di bahagian luar rumah Miranda kerana saiznya yang terlalu besar dan pengasas syarikat yang membuat piano tersebut menasihatkan agar Miranda menutup kawasan tersebut demi menjaga kualiti piano mewah itu.

Miranda kemudiannya mengikuti nasihat itu dan membina sebuah ruang khas mengelilingi piano tersebut. Setelah dimaklumkan mengenai isu di sebalik hadiah Jho Low, Miranda amat berbesar hati untuk memulangkan kembali piano itu kepada kerajaan Malaysia.

Namun, proses untuk mengeluarkan piano tersebut mengalami masalah kerana saiznya yang terlalu besar dan tidak muat untuk dikeluarkan melalui pintu yang sedia ada. Proses pemasangan semula yang sulit dan berisiko menjejaskan kualiti piano tersebut menyukarkan lagi keadaan.

Demi menjaga kualiti aset tersebut, ruang yang dibina di rumah Miranda Kerr mungkin perlu dirobohkan dan kos bagi memperbaiki rumah mewah Miranda perlu ditanggung oleh kerajaan Malaysia. Kerana itu, piano tersebut masih lagi berada di Malibu.