Kajian melaporkan hampir 80 peratus wanita yang menjadi mangsa gangguan seksual tidak berani tampil membuat aduan walaupun menerusi talian yang disediakan.

Seorang daripada tiga wanita mengalami gangguan seksual setiap hari dan peningkatan dalam peratusan ini amat membimbangkan.

Oleh itu, Persatuan Perikatan Persaudaraan Wanita Selangor (PPPWS) telah mengambil satu langkah berani dengan melancarkan sebuah aplikasi percuma, SafeCity, yang menyediakan platform yang lebih mudah buat mangsa gangguan seksual untuk membuat aduan.

Jika anda diganggu secara lisan, diraba, gambar anda diambil secara senyap atau terdapat orang di sekeliling anda yang melakukan pergerakan berbentuk seksual, anda boleh menceritakan pengalaman anda menerusi aplikasi ini dan meletakkan ‘pin’ pada lokasi berlakunya gangguan tersebut.

Jika terdapat 10 aduan yang dibuat di lokasi yang sama, pihak SafeCity akan terus menghubungi atau berjumpa dengan pemilik kawasan, pengurus bangunan atau mana-mana pihak yang bertanggungjawab di lokasi tersebut untuk menyatakan aduan yang dibuat dan membuat tindakan bersama pihak berkuasa.