Beruntungnya penghuni penjara wanita di Bentong, Pahang ini kerana dapat belajar masak secara terus dari Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar yang sangat terkenal dengan sifat mesra rakyat.

Tunku Azizah bersama chef eksekutif Resorts World Genting, Alex Vitalise, bekerjasama dalam menghasilkan panduan untuk jenis-jenis masakan pes yang boleh dimasak oleh banduan wanita di penjara tersebut dan seterusnya dijual di pasaran luar.

Selain rendang Betawi dan pes asam pedas yang resipinya diambil terus dari buku masakan Tunku Azizah – Masakan Tradisional Pahang, chef Alex juga ingin menghasilkan sesuatu yang lebih kreatif dengan menggabungkan masakan Barat bersama dengan masakan tradisional.

Chef Alex sempat membuat demostrasi memasak spaghetti bersama rendang udang, asam pedas quesadilla, stew rendang kambing dan brisket yang menggunakan pes asam pedas kepada para banduan.

Tunku Azizah dan chef Alex sendiri yang akan mengajar para banduan ini untuk memasak pes dalam kuantiti yang banyak untuk dijual dan dimaklumkan pes-pes ini akan mula dijual di bazar sekitar Bentong bermula Aidilfitri tahun hadapan.