Youtuber dan blogger terkenal, Josh Cahill baru-baru ini telah berkongsi mengenai pengalaman buruk yang terpaksa beliau tempuhi sepanjang tempoh penerbangan 13 jam dari Kuala Lumpur ke London.

Mimpi ngeri Josh Cahill bermula apabila beliau melaporkan kepada kru yang bertugas mengenai kerosakan inflight entertainment di tempat duduk beliau, namun setelah beberapa kali aduan dibuat, tiada tindakan diambil oleh kru penerbangan tersebut.

Josh kemudiannya bertindak untuk berkongsi mengenai pengalaman beliau di Instagram, GoTravelYourWay menggunakan kemudahan wifi yang disediakan, yang kemudiannya mendapat perhatian kru yang terlibat.

Youtuber/Blogger Airline Terbaik 2018 ini seterusnya ‘dipulaukan’ oleh pihak kru yang enggan melayani permintaan beliau dan lebih teruk lagi beliau dipaksa untuk menghentikan rakaman sekiranya ingin mendapatkan makanan.

Walaupun Josh telah mendapatkan kebenaran pihak pengurusan untuk membuat rakaman di dalam kapal terbang, Josh akur dengan arahan yang diberikan kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan.

Pihak Malaysia Airlines telah pun membuat permohonan maaf kepada Josh, begitu juga dengan CEO syarikat tersebut. Malaysia Airlines juga telah menawarkan refund kepada Josh, namun Josh meminta pihak syarikat untuk mendermakan jumlah wang tersebut kepada mana-mana badan kebajikan.