Telekom Malaysia Berhad (TM), penyedia perkhidmatan jalur lebar di Malaysia telah direkodkan sebagai syarikat penyedia yang menerima aduan paling banyak sebanyak 7,946 kes setakat tahun ini.

Menurut SKMM, terdapat peningkatan sebanyak 43% berbanding 4,528 kes tahun lalu dan ini memberikan impak yang negatif buat TM sehingga mendapat perhatian kerajaan.

Sebanyak 21% aduan dibuat mengenai caj yang tinggi, 16% aduan mengenai liputan UNIFI yang kurang memuaskan, 13% mengenai gangguan perkhidmatan, 14% mempertikai bil yang dikenakan, 14% mengenai penyampaian perkhidmatan dan 22%  lagi di bawah kategori lain-lain.

Pendekatan TM dalam menangani aduan pengguna dengan memberi kenyataan tipikal seperti ‘gangguan teknikal’ dan menyuruh pengguna bersabar tanpa memberikan penjelasan kukuh merupakan satu tindakan yang tidak wajar menurut SKMM.

TM digesa untuk mengambil langkah yang lebih efektif dalam menangani isu ini dan pihak SKMM tidak akan teragak-agak untuk campur tangan sekiranya tiada langkah pencegahan dibuat serta-merta.